Navigation Bar

Tuesday, November 5, 2013

INDEKS PRODUKTIVITI SEPANJANG TAHUN


Hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun. Hari ini 01 Muharam 1435 Hijrah bersamaan 5 November 2014, genaplah sudah empat tahun penubuhan blog ini. Indeks produktiviti nampaknya tidak banyak berubah, namun mari bersama kita soroti entri-entri yang telah saya hasilkan sepanjang tahun :

01. SATU... DUA... TIGA...
02. SEMALAM YANG BERLALU
03. ANTARA IMPIAN DAN REALITI
04. LAZAT... BERZAT... BERKAT...
05. KU SANGKA PANAS HINGGA KE PETANG...
06. GAMBAR ALAT KELAMIN PEREMPUAN
07. RACUN DAN PENAWAR PADA LALAT
08. DUHAI AYAH DAN IBU, APA SALAH KAMI?
09. ZOOM MALAYSIA - PULAU PINANG

Semoga apa yang saya kongsikan di blog ini akan memberi manfaat kepada semua pembaca. Terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong saya dan Salam Maal Hijrah 1435 untuk semua


Thursday, April 11, 2013

ZOOM MALAYSIA - PULAU PINANG

Jika disebut Bukit Bendera, feri, jeruk buah pala dan KOMTAR, semestinya yang sinonim dengan ikon-ikon tersebut adalah Pulau Pinang. Mengikut perkiraan, tahun ini merupakan tahun keenam saya bekerja di Pulau Pinang. Walaupun kadangkala hati terlintas untuk berkhidmat di tempat sendiri, namun kepuasan menabur bakti di rantau orang sukar untuk dilafazkan. Berikut merupakan info yang saya perolehi mengenai Pulau Pinang :

SEJARAH

Penempatan Islam sebenarnya telah dibuka lebih awal daripada Francis Light yang dikatakan membuka negeri ini pada tahun 1786. Pulau Pinang telah diserah kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris oleh Sultan Kedah, Sultan Muhammad Jiwa sebagai gantian pelindungan pihak British daripada Siam dan Burma. Pulau Pinang sebelum ini dikenali sebagai Prince Of Wales bagi menghormati Raja Muda Britain. Manakala, penempatan di Tanjung Penaigre yang dikenali sebagai George Town pula diambil sempena nama Raja George III.

KEDUDUKAN GEOGRAFI

Gambar a : Pulau Pinang di Sebelah Seberang Perai 
Gambar b : Jambatan Pulau Pinang  
Gambar c : Pulau Jerejak  
Gambar d : Pulau Pinang di sebelah bahagian pulau

Pulau Pinang yang mempunyai keluasan keseluruhan 1053 kilometer persegi terbahagi kepada dua bahagian iaitu Seberang Perai dan bahagian pulau. Seberang Perai yang berkeluasan 760 kilometer persegi terdiri daripada tiga buah daerah iaitu Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan. Manakala, bahagian pulau yang berkeluasan 293 kilometer persegi terdiri daripada daerah Timur Laut dan Barat Daya. Pulau Pinang bersempadan dengan Negeri Kedah di utara dan timur serta Negeri Perak di selatan.

POPULASI PENDUDUK

Berdasarkan perangkaan yang telah dijalankan pada tahun 2006, jumlah penduduk Pulau Pinang adalah seramai 1,492,600 orang. Kaum Cina merangkumi jumlah penduduk terbesar iaitu seramai 635,500 orang (42.5 %), diikuti Kaum Melayu seramai 612,300 orang (41 %) dan Kaum India seramai 148,000 orang (9 %). Manakala, Bumiputera Bukan Melayu mencatatkan jumlah penduduk seramai 5,600 orang (0.38 %) dan Bukan Warganegara adalah seramai 91,200 orang (6.1 %).


ANTARA LOKASI MENARIK UNTUK DILAWATI


George Town

George Town mempunyai koleksi terbesar bangunan-bangunan dari kurun ke-19 dan awal kurun ke-20. Disini masih terdapat penempatan bersejarah yang terus bernafas dan hidup. Mereka ini umpama jendela penuh pesona kepada pengunjung yang ingin melihat kembali zaman silam George Town yang telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia. Pertembungan eksotik antara yang lama dan baru ini telah mewujudkan satu keunikan yang menarik untuk dihayati.

Bukit Bendera

Bukit Bendera yang berketinggian 833 meter dari paras laut juga dikenali sebagai Bukit Strawberi kerana buah strawberi pernah ditanam disini. Terdapat tiga cara untuk sampai ke puncak Bukit Bendera iaitu menggunakan kenderaan pacuan empat roda, mendaki bukit atau menggunakan keretapi bukit. Jalan menuju ke puncak bukit ini telah mula dibina pada tahun 1790 manakala perkhidmatan keretapi bukit telah diperkenalkan pada tahun 1924. Namun kebiasaannya, para pelancong akan menggunakan keretapi bukit kerana lebih mudah dan selesa. Walaupun tambang pergi-balik keretapi bukit yang dikenakan kini adalah dua kali lebih mahal daripada tambang sebelumnya, jangkamasa untuk sampai ke puncak cuma mengambil masa kurang 10 minit dan gerabaknya dilengkapi sistem penghawa dingin. Sebaik tiba di puncak, kedinginan udara sememangnya dapat dirasai dan jika bernasib baik, para pelancong dapat melihat panorama keseluruhan Pulau Pinang dengan jelas.

Taman Botani

Taman Botani yang juga dikenali sebagai Taman Air Terjun telah dibina pada tahun 1884 daripada tapak sebuah tapak kuari granit lama. Taman Botani merupakan taman rekreasi yang dijadikan tempat riadah di kalangan para pelancong dan penduduk tempatan. Antara tumbuhan yang menjadi ikon kepada Taman Botani adalah Pokok Pukul Lima dan Pokok Buah Meriam.


Rumah P.Ramlee

Rumah P.Ramlee merupakan tempat lahir Allahyarham P.Ramlee. Rumah ini telah dibina pada tahun 1926 oleh bapa dan bapa saudaranya. Rumah ini pernah dibaik pulih oleh bapa saudaranya semasa zaman pendudukan Jepun dan dibaik pulih sekali lagi pada tahun 1948. Rumah ini kemudiannya dibaik pulih untuk kali ketiga dan diambil alih oleh Arkib Negara Malaysia pada tahun 1991. Terdapat dua bahagian ruang pemeran yang utama disini iaitu Rumah Kelahiran P.Ramlee dan Galeri P.Ramlee. Ruang pameran di Rumah Kelahiran P.Ramlee lebih menekankan sejarah kehidupan P.Ramlee manakala Galeri P.Ramlee pula memaparkan kegiatan seni beliau.
 
Masjid Jamek Batu Uban

 Nama Batu Uban tercatat dalam sejarah sebagai Oban, Ooban, dan Batoo Oban yang mengambil sempena sebuah batu besar yang menyerupai kepala manusia yang penuh beruban dan terletak di tengah laut di antara masjid dengan Pulau Jerejak. Tapak Masjid Batu Uban dahulunya merupakan bekas tapak surau yang telah dibina oleh Tuan Haji Mohammed Salleh atau dikenali sebagai Nakhoda Intan Ibnu Al-Marhum Nam Tunku Patis Batang, yang juga membuka penempatan awal di Kampung Batu Uban pada tahun 1734. Bahagian asal masjid ini yang masih kekal ialah empat batang tiang seri berbentuk segi empat di tengah masjid dan puncak kubah masjid. Selain itu, tempat mengambil wuduk dan perigi masjid yang masih digunakan adalah binaan asal.

Masjid Kapitan Keling

Pembinaan Masjid Kapitan Keling telah diasas pada tahun November 1801 oleh ketua kaum India Muslim (Kapitan Keling) bernama Cauder Mydin Merican bagi menggantikan masjid yang dibina oleh tentera Syarikat Hindia Timur Inggeris . Pada asalnya, masjid  ini dibina daripada kayu di atas sebidang tanah berkeluasan 18 ekar. Selepas kematian Cauder Mydin Merican pada tahun 1834, tanah itu tidak lagi diiktiraf sebagai sebahagian daripada pemberian asal dan keluasan masjid telah berkurang kepada 8 ekar sahaja dengan pembinaan jalan serta kediaman di sekelilingnya. Masjid ini telah melalui enam kali ubahsuai dan masjid yang ada sekarang telah dibina pada tahun 1916 dengan bercirikan senibina Islam serta Moghul.

Masjid Melayu (Jamek) Lebuh Acheh

Berdasarkan fakta sejarah, Tengku Syed Hussain Al-Aidid, seorang kerabat diraja Acheh  dari Sumatera membuka sebuah perkambungan di Lebuh Acheh pada tahun 1792 dan kemudiannya membina Masjid  Melayu (Jamek) Lebuh Acheh pada tahun 1808. Reka bentuk masjid ini telah diilhamkan mengikut campuran senibina Moorish dan China. Satu ketika dahulu, kawasan masjid ini pernah menjadi lokasi bakal-bakal jemaah haji berkumpul setiap kali musim haji.

Masjid Terapung Tanjung Bungah

Sejarah asal Masjid Terapung Tanjung Bungah bermula apabila tapak surau sediada  yang telah dibina pada tahun 1967 ditebusguna sebagai tapak masjid ini. Masjid Terapung Tanjung Bungah telah dirasmikan pada  16 Mac 2007 oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi. Masjid yang berkeluasan 1295 meter persegi dan mempunyai dua tingkat ini boleh memuatkan 1500 jemaah pada satu-satu masa. Pembinaanya yang menelan kos RM 15 juta memaparkan campuran senibina Timur Tengah dengan sebuah menara masjid setinggi tujuh tingkat. Masjid Terapung Tanjung Bungah lazim menjadi tempat persinggahan para pelancong untuk beribadat dan berehat memandangkan lokasinya yang berada di tepi jalan utama menuju ke Pantai Batu Feringghi.

Muzium Islam Pulau Pinang (Syed Al-Attas Mansion)

Bangunan Muzium Islam Pulau Pinang asalnya merupakan kediaman Syed Al-Attas, seorang rakyat Acheh yang berketurunan Arab. Rumah ini telah dibina pada tahun 1860 kediaman ini mencerminkan corak hidup terbaik keluarga Islam di Pulau Pinang ketika itu. Sekitar tahun 1930-An, rumah ini pernah digunakan sebagai tempat simpanan barang buruk oleh pengumpul barang buruk Chettiar India. Pada tahun 1993, rumah ini telah dipulihkan untuk memberi maklumat berkaitan sejarah komuniti Islam di Pulau Pinang kepada masyarakat umum.

Muzium Negeri Pulau Pinang

Muzium Negeri Pulau Pinang mula dibuka kepada umum pada 14 April 1945. Muzium ini menghimpunkan sejarah kumpulan etnik yang ada di Pulau Pinang serta warisan budaya masyarakat mereka. Muzium ini memperagakan pameran yang dijelmakan dalam bentuk artifak, ilustrasi, gambar, model dan sebagainya.

Lorong Kulit
 Jika para pelancong ingin mencari barang-barang antik, mungkin Lorong Kulit atau dikenali penduduk tempatan sebagai Rope Walk adalah destinasi yang perlu dikunjungi. Lorong Kulit terletak di sebelah Stadium Bandaraya dan dibuka setiap hari dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengahari. Selain barang-barang antik, terdapat pelbagai lagi barangan yang dijual di sini termasuklah produk terpakai daripada tong sampah, buah-buahan, aksesori telefon bimbit dan sebagainya. Harga barangan yang ditawarkan kadangkala agak tinggi terutama kepada pelancong, tetapi harga tersebut masih boleh dikurangkan jika pandai tawar-menawar.

Pasar Chowrasta

Pasar Chowrasta mula dibina pada tahun 1890 dan pernah mengalami dua kali pengubahsuaian pada tahun 1920 dan 1981, Nama pasar ini berasal daripada perkataan Hindi "Chowk" yang bermaksud Pasar Jalanan. Pasar Chowrasta terletak diantara empat persimpangan jalan iaitu Jalan Penang, Jalan Chowrasta, Jalan Kuala Kangsar dan Lebuh Tamil. Pasar ini sememangnya popular kepada pelancong yang ingin mencari  buku-buku terpakai dan jeruk. Majoriti peniaga di pasar ini adalah kaum Cina. Namun, para pelancong boleh mendapatkan jeruk yang dijual kaum Melayu di Kedai Jeruk Madu Pak Ali atau Jeruk Nasir yang terletak bersebelahan pasar ini.

KOMTAR Walk

 Komtar Walk merupakan laluan sepanjang 155 meter di hadapan Jalan Dr Lim Chwee Leong yang menempatkan beberapa buah restoran dan Pasaraya Pacific. Komtar Walk mula dibuka pada 19 Ogos 2009 bagi menarik pelancong ke kawasan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) yang semakin berkurangan. Pelancong lazimnya menjadikan Komtar Walk sebagai lokasi untuk berehat sambil melihat keindahan panorama 65 tingkat Menara KOMTAR daripada jarak dekat.

Padang Kota Lama (Esplanade)

Jika ingin menikmati angin sepoi-sepoi bahasa sambil menikmati keindahan alam semulajadi, Padang Kota Lama atau dikenali juga sebagai Esplanade adalah jawapannya. Namun begitu, saya secara peribadi tidak menggalakkan para pelancong untuk makan di Medan Selera di kawasan ini kerana harganya agak mahal dan kadangkala tidak setanding dengan apa yang dihidangkan. Terdapat beberapa lokasi menarik untuk dilawati di kawasan ini seperti Town Hall, City Hall, Fort Cornwallis dan Menara Jam Queen Victoria.

Gambar a : Town Hall
Gambar b : City Hall


Town Hall merupakan pusat pertemuan kepada golongan elit di Pulau Pinang satu ketika dahulu. Town Hall telah mula dibuka secara rasminya pada tahun sekitar tahun1880-An oleh Sir Fedderick Weld. Manakala, City Hall dibina pada tahun 1903 dengan kos 100,000 Dolar Negeri-Negeri Selat. City Hall kini dijadikan Ibu Pejabat Majlis Pembandaran Pulau Pinang sejak George Town mendapat pengiktirafan sebagai bandaraya pada 01 Januari 1987.

Fort Cornwallis

Fort Cornwallis merupakan sebuah kubu lama berbentuk bintang yang dibina oleh Kapten Francis Light selepas mengambil alih pulau ini dari Sultan Kedah pada 11 Ogos 1786. Pada asalnya, kubu ini diperbuat daripada batang Pokok Nibong dan dibina sebagai sebuah kubu pertahanan kepada tentera Syarikat Hindia Timur Inggeris daripada serangan tentera Perancis. Pada bulan Januari 1809, kubu ini telah dibina semula menggunakan konkrit dengan kos 4621.45 Spanish. Kota ini telah diwartakan sebagai Monumen Lama Dan Tapak Tanah Bersejarah pada 08 September 1977.

Menara Jam Queen Victoria

Menara Jam Queen Victoria telah dibina pada tahun 1897 dan kos pembinaanya adalah disumbangkan oleh Encik Cheah Chen Eok sebagai peringatan kepada sambutan Jubli Intan Queen Victoria. Menara ini telah dibina setinggi 60 kaki sempena 60 tahun pemerintahan Queen Victoria.

Pasar Malam Batu Feringghi

Aktiviti malam di kawasan Batu Feringghi dihidupkan dengan Pasar Malam Batu Feringgi yang beroperasi setiap hari dari sekitar jam 7.00 malam hingga 11.30 malam. Barangan yang dijual disini lebih tertumpu kepada perhiasan rumah, barangan berjenama tiruan, cenderamata dan sebagainya. Berdasarkan pemerhatian saya, harga produk yang dijual adalah lebih mahal memandangkan Batu Feringgi adalah kawasan tumpuan pelancong, terutama pelancong asing.
Pantai Tanjung Bungah dan Batu Feringghi

Diantara lokasi perkelahan terkenal yang sering dikenali para pelancong adalah Pantai Tanjung Bungah dan Batu Feringghi. Selain berkelah bersama keluarga, aktiviti lain yang dijalankan di sini adalah mandi-manda, parasailing, berkuda di persisiran pantai dan menaiki bot pisang. Selain Pantai Tanjung Bungah dan Batu Feringghi, Pantai Shamrock, Pantai Miami dan Pantai Pasir Panjang juga tidak kurang menariknya dan sesuai dikunjungi bersama keluarga.

Pulau Aman

Pulau Aman terletak di dalam daerah Seberang Perai Selatan dan boleh dikunjungi dengan menaiki bot daripada Jeti Batu Musang, Batu Kawan. Pulau Aman merupakan salah satu pulau yang berada di sekitar Pulau Pinang selain daripada Pulau Gedung dan Pulau Jerejak. Saya pernah membuat satu entri berkenaan pulau ini di sini


Pulau Jerejak

Pulau Jerejak yang mendapat nama jolokan Alcatraz Malaysia terletak 1.5 batu nautika dari tanah besar. Selain berfungsi sebagai gerbang pemeriksaan tahap kesihatan imigran asing yang ingin bekerja di Pulau Pinang, Pulau Jerejak yang berkeluasan 362 hektar juga menjadi pusat kuarantin para jemaah haji yang baru pulang dari Mekah. Pada tahun 1930-an, sebuah hospital kusta telah dibina di bahagian timur pulau ini untuk menempatkan pesakit-pesakit kusta dan batuk kering. Pulau Jerejak sekali lagi ditransformasi pada tahun 1948 menjadi sebuah pulau buangan oleh British untuk memenjarakan pejuang-pejuang nasionalisme yang menentang mereka seperti Dr Burhanuddin Al-Helmi, Ahmad Boestaman dan ramai lagi. Pada 12 Jun 1969 pula, Pulau Jerejak telah diambil alih oleh Jabatan Penjara dijadikan Pusat Pemulihan Akhlak kepada para penjenayah sehingga bulan Ogos 1993. Pulau Jerejak kini telah berubah wajah dengan pembinaan sebuah resort untuk para pelancong yang ingin berlibur dalam suasana hutan hujan yang mendamaikan.

JALAN-JALAN CARI MAKAN

Apabila menyebut nama Pulau Pinang, tentunya yang terlintas di fikiran adalah kepelbagaian citarasa makanannya. Untuk mendapatkan rasa asli makanan yang diinginkan tidaklah sukar kerana banyak restoran yang menjualnya di sekitar bandaraya ini. Berikut merupakan beberapa lokasi yang saya cadangkan untuk dikunjungi :

Nasi Tomato Batu Lanchang

Saya yakin tidak ramai pelancong yang tahu kemujudan Nasi Tomato Batu Lanchang ini. Jika dilihat kepada rupanya, nasi tomato ini kelihatan biasa sahaja. Namun apabila diuji rasanya, ternyata rasa nasi tomato ini sedap dan sangat menyelerakan. Sekiranya ingin mencuba keenakkannya, lokasi gerai nasi tomato ini dijual adalah di perkarangan Blok 25 Taman Seri Damai yang berada bertentangan dengan Pasar Batu Lanchang. Hasil tinjauan saya mendapati, gerai ini hanya dibuka pada waktu malam sahaja.

Nasi Kandar Line Clear

Nasi Kandar Line Clear di Jalan Penang tidak perlu diperkenalkan lagi kerana kelazatan nasi kandar di sini sememangnya tidak dapat dinafikan. Walaupun harga nasi kandar di sini agak mahal,  nilainya berbaloi dengan rasa lauk-pauk yang beraneka serta cukup rempah-ratusnya. Selain Nasi Kandar Line Clear, satu lagi restoran nasi kandar yang saya cadangkan untuk dikunjungi adalah Nasi Kandar Beratur yang terletak di Jalan Masjid Kapitan Keling, iaitu bersebelahan dengan Masjid Kapitan Keling. Pada waktu siang, restoran ini diusahakan oleh peniaga yang berbeza, manakala Nasi Kandar Beratur hanya memulakan perniagaan dari jam 10.00 malam setiap hari.

Restorann Roti Canai Jalan Argyll

Jika ingin menikmati sarapan pagi yang sedap, bolehlah berkunjung ke Restoran Roti Canai Jalan Argyll. Keenakkan roti canai di sini sememangnya menjadi sebutan ramai sejak restoran ini memulakan operasi 55 tahun lalu lagi. Sekiranya ingin merasai sendiri roti canai disini, restoran ini dibuka setiap hari dari jam 7.00 pagi hingga 12.00 tengahari.

Restoran Terapung Pulau Aman

Jika ingin merasai kelazatan mi udang, bolehlah berkunjung ke Restoran Terapung Pulau Aman. Selain mi udang, turut dijual disini adalah mi goreng udang dan nasi goreng udang. Saya pernah menceritakan perihal restoran ini di sini

Jeruk Madu Pak Ali

Jeruk buah-buahan merupakan buah tangan yang wajib dibawa pulang dari Pulau Pinang. Berbekalkan motto "keterampilan citarasa menjadi tradisi", Jeruk Madu Pak Ali adalah pelopor pengilang jeruk buah-buahan bumiputra di Pulau Pinang. Penghasilan jeruk ini sudah dimulakan sejak tahun 1985 lagi. Sekiranya pelancong ingin membeli Jeruk Madu Pak Ali, bolehlah mendapatkannya di Medan Suri Sungai Nibong (Bersebelahan Masjid Jamek Sungai Nibong), sebelah Pasar Chawrasta atau Tesco Extra Seberang Jaya.


Sepanjang bertugas di Pulau Pinang, saya mengakui pulau ini adalah pulau yang kaya dengan pertembungan budaya serta warisan  disamping menjadi syurga makanan yang mempunyai keunikan yang tersendiri. Tidak rugi rasanya melancong ke sini kerana Pulau Pinang pastinya menjanjikan seribu satu kenangan manis untuk dikenang.

Friday, April 5, 2013

DUHAI AYAH DAN IBU, APA SALAH KAMI?

 
Sewaktu balik ke rumah semalam, saya terpandang papan iklan ini yang tertulis "Ibu mana yang tak sayang anak" sepertimana gambar di atas.Walaupun memahami maksud sebenar yang ingin disampaikan oleh iklan ini, saya rasa terpanggil untuk menunjukkan bukti bahawa masih ada lagi ibu yang masih tidak menyayangi anaknya. Tidak percaya?, saya lampirkan keratan akhbar disini :

'Anak patung" berulat dalam plastik
 
Mayat bayi di tapak lupus sampah

Dibiar mati kesejukan

 Kejam! Kejam! Kejam!

Gugur janin online


Di saat ramai pasangan yang masih merintih kerana tidak dikurniakan anak, masih ada lagi ibu bapa yang sanggup membunuh nyawa yang tidak bersalah ini. Persoalannya apa salah anak kecil ini?. Jawapannya mudah, mereka tiada langsung dosa dan sudah terjamin kedudukannya di dalam Syurga Allah, sebaliknya ibu dan ayah merekalah yang berdosa kerana tergamak melakukan perkara sekeji ini. Jika anak-anak ini mampu berkata-kata, pastinya mereka akan bertanya "duhai ayah dan ibu, apa salah kami?". Marilah sedekahkan Al-Fatihah untuk mereka. Semoga anak-anak ini tenang di sana.


Thursday, April 4, 2013

RACUN DAN PENAWAR PADA LALAT...


Apa reaksi kita apabila air teh atau kopi yang dibancuh, tiba-tiba lalat jatuh ke dalamnya?. Biasanya kita akan buang semua air tersebut kerana menganggap lalat itu kotor dan membawa pelbagai penyakit. Persoalannya, adakah ia tindakan yang paling tepat?. Pada 1400 tahun dahulu, Rasulullah S.A.W telah menunjukkan cara terbaik apabila berhadapan dengan situasi di atas. Ini sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim bermaksud "Apabila lalat hinggap di dalam bekas minuman seseorang, benamkan ia. Sesungguhnya pada sebelah sayap lalat itu ada penyakit dan pada sayap lain terdapat ubat dan penawar".

Daripada Sa'id Bin Al-Khudri, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud "Pada sebelah sayap lalat itu racun, manakala pada sebelah sayap lain adalah ubat. Jika ia terjatuh ke dalam makanan, benamkan ia untuk mengeluarkan racun serta ubat dan penawar (ke dalam makanan)".(Sunan Ibn Majah). Menurut Ibn Qayyim Al-Jawziyyah, hadis ini membicarakan dua perkara iaitu permasalahan fiqah dan permasalah perubatan. Dalil di atas jelas membuktikan bahawa apabila seekor lalat mati di dalam air atau makanan, maka ia tidak najis. Itu adalah pendapat majoriti ulama. Tidak ada seorang pun ulama salaf yang menolak perkara ini. Ini berdasarkan suruhan Rasulullah S.A.W untuk membenamkan lalat ke dalam makanan atau air. Hukum ini bukan sahaja bagi makanan atau makanan yang dihinggapi lalat, bahkan semua haiwan yang tidak mengalirkan darah seperti lebah, kumbang, labah-labah dan seumpamanya. Sebagaimana yang diketahui, najis adalah daripada tubuh haiwan yang mengalir darah. Sudah tentulah perkara ini tidak berlaku bagi binatang yang tidak mengalir darah dalam tubuhnya, maka ia tidak najis.

Tidak dinafikan lalat adalah serangga yang paling berbahaya kerana menjadi agen penyakit seperti demam kepialu, cirit-birit, taun dan banyak lagi. Apabila lalat terjatuh ke dalam air, ia akan mengeluarkan racun yang menyebabkan air tersebut mengandungi kuman yang berbahaya kepada manusia. Namun, apabila lalat tersebut ditenggelamkan seluruhnya, maka sayap yang mengeluarkan penawar akan mematikan bakteria yang ada dalam air tersebut. Ibn Qayyim Al-Jawziyyah menyatakan "Lalat memiliki racun yang merupakan senjata baginya. Gigitan lalat menyebabkan bengkak dan rasa gatal. Lalu, Nabi menyuruh agar racun yang dikeluarkan lalat ditangani dengan senjata yang Allah ciptakan pada sebelah sayap yang lain. Caranya dengan menenggelamkan lalat yang masuk dalam minuman atau makanan agar racun itu dapat dihapuskan dengan penawar yang menghilangkan bahayanya". Formula perubatan ini tidak mampu diselami oleh ramai pakar perubatan moden. Inilah mukjizat Nabi S.A.W!. Ramai pakar perubatan mengakui bahawa jika tempat gigitan kumbang atau kala jengking digosok dengan lalat akan mendatangkan manfaat dan melegakan kesakitan. Perkara ini berlaku kerana penawar yang terdapat pada lalat.

Malangnya, ada sebahagian manusia cuba mempertikaikan dan memperolok-olokkan hadis di atas. Ada yang mengatakan "Bagaimana racun dan penawar boleh terdapat pada sayap lalat?. Bagaimana pula lalat begitu pandai membezakan sayap yang beracun dan mendahulukannya?". Beberapa ulama menjawab, antaranya Ibn Jawzi "Perkataan yang disebutkan itu tidak pelik kerana lebah mengeluarkan madu dari bahagian atas dan bawah". Ada ulama lain yang menjawab "Allah memberi ilham kepada lebah untuk membuat sarang yang sangat menakjubkan serta mengeluarkan madu. Dia juga mengilhamkan semut agar mencari makanan ruji dan disimpan untuk keperluan hidupnya. Dialah juga yang menciptakan lalat dan mengajar agar mendahulukan sayap beracun terlebih dahulu, kemudian sayap yang berpenawar. Semua ini adalah kehendak Allah untuk menguji hamba-Nya supaya timbul rasa Ta'abbudiyyah (beribadah kepada Allah). Setiap segala sesuatu terdapat pengajaran dan hikmah. Tidak ada orang yang dapat memahaminya kecuali orang yang berakal". Bagaimana perkara ini diketahui Nabi Muhammad S.A.W sedangkan ketika itu belum ada lagi teknologi canggih untuk mengungkapkan?. Ya, ia merupakan wahyu daripada Allah. Baginda tidak bercakap berdasarkan hawa nafsu. Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Najm ayat 3 dan 4 yang bermaksud "Dan dia tidak bercakap mengikut hawa nafsu, melainkan apa-apa yang diwahyukan oleh Pemberi wahyu (Allah)".


Nota kaki : Info dipetik dan diubahsuai daripada Majalah Solusi Isu 54

Thursday, March 21, 2013

GAMBAR ALAT KELAMIN PEREMPUAN


Kelu, itu yang dapat saya gambarkan perasaan saya pagi ini sebaik melihat perkataan carian dalam blog saya pagi ini. Saya tidak mahu mengulas panjang kerana tidak mengenalinya dan tidak tahu apa motif dia mencari gambar ini . Namun saya hanya ingin maklumkan kepadanya bahawa maaflah, saya tidak dapat membantunya kerana gambar-gambar sebegini tidak pernah wujud di blog saya. Walaubagaimanapun, terima kasih kerana sudi singgah di blog saya tulis panjang-panjang macamlah dia nak singgah lagi.

Wednesday, March 20, 2013

KU SANGKA PANAS HINGGA KE PETANG...


Majoriti daripada kita tidak mahu hidup yang penuh dengan masalah, tekanan dan perkara-perkara yang menyebabkan kita rasa sedih. Jika disoal, pastinya ramai yang mengimpikan kehidupan yang tenang dan jauh daripada dugaan. Namun tahukah kita, manusia sentiasa dihujani dengan ujian yang sebenarnya boleh ditangani dengan baik?. Setiap dugaan yang datang perlu kita tempuhi dengan kesungguhan dan kesabaran, bukannya cuba lari daripada ujian yang menimpa kerana itu bermakna kita cuba menambah masalah lain. Antara tip yang boleh kita lakukan ketika berhadapan dengan ujian dan dugaan ialah seperti berikut :

1. GPS IMAN - MELIHAT DUGAAN YANG MENIMPA DENGAN MATA HATI

Lihatlah sesuatu perkara daripada sudut positif melalui iman. Sesungguhnya, kepahitan yang dialami di dunia ini adalah kemanisan di akhirat nanti. Dugaan yang menimpa ialah jambatan kepada kita memperoleh kejayaan pada masa hadapan. Oleh sebab itu, usahlah berfikiran negatif dan menganggap Allah itu tidak adil. Sebaliknya, anggaplah dugaan tersebut sebagai pemangkin untuk kita terus melangkah ke hadapan. Pada masa yang sama, sentiasalah mengingati Allah kerana dengan mengingati-Nya, hati akan menjadi tenang. Selain itu juga zikrullah akan menghindarkan diri daripada tipu daya syaitan yang tidak berputus asa untuk menyesatkan kita. Ingat, imanlah yang membentuk perisai diri kita dan ia juga membimbing kita ke arah kebaikan.

2. MENGUATKAN KEYAKINAN DIRI

Apabila seseorang diduga dengan seustu yang berat, hatinya akan mula goyah dan keyakinan dirinya mula terhakis. Ingatlah bahawa tujuan Allah menduga kita untuk menguji ketabahan diri dan kerelaan hati seseorang, bukannya menyiksa manusia. Apabila ditimpa musibah kita perlu meyakini perkara-perkara berikut :
  • Setiap ujian dan dugaan yang datang adalah lumrah kehidupan manusia
  • Seseungguhnya dunia ini tempat ujian dan dugaan, bukannya tempat untuk bersenang-lenang
  • Setiap dugaan yang datang adalah ketentuan Allah S.W.T untuk menguji tahap keimanan hamba-hamba-Nya
  • Sekiranya kita diuji dengan dugaan yang dirasakan berat, ada lagi orang yang menerima dugaan yang lebih hebat
  • Allah akan memberi ganjaran yang besar sekiranya kita menerima dugaan hidup dengan redha dan sabar
  • Dugaan yang diberikan bertujuan menjadikan diri kita lebih kuat dan tabah
  • Dugaan berat yang ditimpakan kepada kita ialah tanda Allah memilih kita untuk diberikan kebaikan
  • Dugaan yang menimpa kita bersifat sementara. Ia akan selesai sekiranya kita menanganinya dengan baik
3. BERDAMPING DENGAN ORANG ALIM DAN MENUNTUT ILMU

Kejahilan salah satu punca seseorang memilih jalan hitam bagi menyelesaikan masalah yang menimpanya. Oleh sebab itu, ubat untuk merawat kejahilan ialah ilmu. Namun, ilmu yang diperoleh melalui bacaan sahaja tidak memadai kerana manusia melihat sesuatu perkara melalui cara yang berlainan. Bimbingan guru atau orang alim penting bagi memastikan kita memahami Islam dengan betul. Selain itu, apabila berhadapan dengan sesuatu dugaan, ilmulah yang akan mendorong kita melakukan sesuatu perkara secara rasional, bukannya mengikut hawa nafsu semata-mata. Melalui ilmu juga, seseorang itu akan dapat membezakan antara perbuatan baik dengan buruk. Dalam erti kata lain, ilmu adalah penyuluh diri yang menyedarkan seseorang bahawa dugaan yang menimpanya daripada Allah. Dugaan menimoa seseorang untuk melihat kemuliaan dan kehinaannya. Oleh sebab itu, seseorang yang berilmu dan beriman akan berhadap dengan dugaan yang diberikan kepadanya dengan cara yang betul dan positif.

4. BUKAN DITANGISI, TETAPI DIATASI

Ramai yang berduka apabila menerima dugaan daripada Allah S.W.T. Namun, harus kita ingat bahawa tangisan tidak dapat membebaskan kita daripada dugaan atau masalah, sebaliknya menambah lagi derita  yang sedang kita hadapi. Ingatlah, apabila kita menangis di atas dugaan yang menimpa, syaitan akan bersorak dan segera menggoda untuk menyesatkan kita. Oleh sebab itu, redhalah setiap ujian yang Allah berikan dab rebahkan diri untuk berdoa memohon kekuatan daripada-Nya.

Secara kesimpulannya, sedarlah bahawa setiap ujian yang ditimpakan ke atas diri kita mempunyai hikmahnya yang tersembunyi. Adalah mustahil untuk kita hidup dengan tanpa ada sedikit pun masalah. Justeru, redhalah setiap ujian tersebut dan anggaplah ia sebagai penjana pahala yang akan membantu di akhirat kelak.


Info dipetik dan diubahsuai daripada Majalah Solusi Isu 47

Tuesday, March 19, 2013

LAZAT, BERZAT, BERKAT...


Gendang gendut tali kecapi
Kenyang perut senang hati

Begitulah bait-bait pantun dua rangkap yang sering kita dengar. Namun persoalannya, apakah dengan perut kenyang itu hati akan senang?. Kesenangan mungkin hanya dapat dinikmati sekatika, kerana kerana jika salah perhitungan, pelbagai penyakit akan datang menyerang tanpa kita sedari. Jika kita kini menikmati pelbagai hidangan yang lazat, pernahkah kita tahu menu yang pernah disantap oleh Rasulullah S.A,W?. Disenaraikan di sini sebahagian menu yang pernah dimakan oleh Rasulullah S.A.W 
  • Kurma dan air kosong
  • Tharid iaitu roti dicampur daging dan berkuah
  • Roti yang dimakan dengan cuka
  • Roti dengan minyak zaitun
  • Roti dengan keju
  • Bubur yang dibuat daripada susu dan gandum
  • Roti dengan kurma
  • Kurma dengan mentega
  • 7 biji kurma yang direndam di dalam susu (Biasanya dimakan pada waktu pagi)
  • Kurma dan tembikai
  • Timun dan kurma 
Lihatlah betapa sederhana dan sihatnya hidangan Baginda. Namun dengan kuantiti yang sedikit pada pandangan kita itulah, Baginda mampu mengubah hati manusia kembali bertuhankan Allah, malah baginda mampu menjana tenaga yang diperoleh itu untuk tujuan ketaatan. Kita bagaimana?


Info dipetik dan diubahsuai daripada Majalah Solusi Isu 47

Tuesday, February 12, 2013

ANTARA IMPIAN DAN REALITI...

IMPIAN


PERINGATAN 
Kepada Pelanggan Yang Dihormati, Dilarang Membuka Penutup & Menukar Saiz Telur
 REMINDER
Dear Value Customer, Please Do Not Mix Egg Size And Change Egg Tray Cover

 
REALITI
 
Inilah mentaliti orang kita. Suka melanggar peraturan yang telah ditetapkan sesuka hati... 




Sunday, January 20, 2013

SEMALAM YANG BERLALU...

Semalam sekali lagi saya berkesempatan mengunjungi Pulau Aman. Ketika menunggu bot di Jeti Batu Musang, saya mengambil peluang untuk membaca info berkenaan Pulau Aman di papan maklumat seperti di bawah


Secara tidak sengaja, mata saya sekilas terlirik kepada sesuatu yang menerujakan saya iaitu gambar pada maklumat Sukun Pulut seperti di bawah 


Saya tidak jangka nampaknya ada orang yang berminat dengan gambar yang saya pernah rakam dan ceritakan di sini. Namun memandangkan gambar tersebut diletakkan di papan maklumat untuk pengetahuan pelancong, saya redhakan sahaja. Saya mengharapkan secara tidak langsung ia akan memberi manfaat kepada para pelancong dalam mengetahui tempat-tempat menarik di Pulau Aman.
Related Posts with Thumbnails